Pages

Tuesday, September 7, 2010

HAKIM SYARIE WANITA?

Hakim Syarie wanita pertama Malaysia

Peranan Hakim Syarie dalam melaksanakan undang-undang Islam dan pentadbirannya adalah amat penting. Hakim adalah orang yang bertanggungjawab sepenuhnya menjaga dan mempertahankan kedaulatan undang-undang. Jawatan Hakim/Kadi pernah dipegang oleh Baginda Rasulullah s.a.w. semasa hayat baginda, dan demikianlah juga dengan Khulafa’ al Rashidin. Mereka merupakan rujukan terakhir dan bertanggung jawab secara langsung terhadap kehakiman dan pentadbirannya.

Di atas kepentingan inilah , maka Islam telah mengenakan syarat-syarat yang ketat untuk seseorang itu boleh dilantik sebagai Hakim. Tujuannya untuk memastikan orang yang memegang jawatan tersebut benar-benar berwibawa dan berkelayakan. Walaupun demikian ,ulama berselisih pendapat dalam soal menentukan bilangan syarat tersebut. Al Ramli,umpamanya, telah memberikan sepuluh syarat. Muhammad Salam Madkhur pula menyebut enam syarat,sedangkan Syeikh Muhammad Isa memberikan empat syarat sahaja.

Sungguhpun mereka berselisih pendapat berhubung dengan penentuan bilangan syarat, pada hakikatnyanya ia melengkapi diantara satu sama lain. Keseluruhan syarat tersebut adalah disimpulkan seperti berikut:

1. Islam

2. Baligh

3. Berakal

4. Merdeka

5. Lelaki

6. Adil

7. Mujtahid

8. Sempurna Pancaindera

Tidak dapat dinafikan pada masa ini sukar sekali mendapatkan seorang Hakim yang menepati semua syarat lantikan. Umumnya hendaklah dilantik orang yang terlayak di kalangan yang layak dan terbaik dikalangan yang ada, dan jawatan itu hendaklah diisi kerana darurat atau berkepentingan awam.

BOLEHKAH WANITA DILANTIK MENJADI HAKIM SYARIE?

Pendapat-pendapat Ulama’:

PENDAPAT PERTAMA (TIDAK BOLEH SAMA SEKALI)

Menurut jumhur ulama’ (Syafei, Maliki dan Hambali) lelaki menjadi syarat perlantikan Hakim/Kadi. Tidak sah melantik wanita menjadi Hakim. Jika dibuat perlantikan keatas mereka,hukuman yang dijatuhkan mereka itu tidak sah. Hujah jumhur ulama’ berdasarkan firman Allah swt yang bermaksud:”Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan)”. (An-Nisaa’:34.)

Dan juga terdapat hadis Rasullah yang menegaskan sesuatu kaum itu tidak akan berjaya jika urusan mereka di tangan wanita.

Menurut Imam al-Mawardi, lelaki mempunyai kelebihan dari segi akal fikiran dan kekuatan, maka tidak harus bagi perempuan mengatasi lelaki.

Al-Sirazi juga telah menjadikan hadis tersebut sebagai hujah dan menegaskan hadis itu sahih. Menurutnya tugas Hakim terpaksa bergaul dengan lelaki dalam membicarakan kes. Maka wanita tidak diharuskan bergaul sedemikian kerana dikhuatiri akan timbul fitnah.


Hakim wanita Mahkamah Juvana, Sana'aa, Yemen


PENDAPAT KEDUA (BOLEH SELAIN KES-KES HUDUD DAN QISAS)

Menurut pendapat Imam Abu Hanifah, wanita boleh mejadi Hakim dalam kes-kes yang ia boleh menjadi saksi dan tidak boleh dalam kes-kes yang ia tidak menjadi saksi seperti dalam kes-kes hudud dan qisas. Hukuman yang dijatuhkan oleh hakim wanita tersebut berdasarkan perlantikan itu adalah sah dan berkuatkuasa dalam kes-kes selain kes-kes hudud dan qisas jika hukuman itu selaras dengan kitab Allah dan sunah Rasulullah.

Hujah golongan yang menyetujui pendapat mazhab Hanafi ini ialah berdasarkan qias, iaitu wanita harus menjadi saksi dalam beberapa kes. Maka wanita juga harus menjadi Hakim dalam perkara-perkara yang diharuskan ia menjadi saksi.

Pandangan ulama’ semasa iaitu pendapat Dr Yusuf Qardhawi bahawa beliau bersetuju dengan pandangan Abu Hanifah yang mengharuskan wanita menjadi Hakim dalam masalah yang mereka boleh menjadi saksi iaitu selain hudud dn qisas.

PENDAPAT KETIGA (HARUS SECARA MUTLAK)

Ibn Jarir al-Tabari,mengharuskan wanita menjadi Hakim secara mutlak. Ini bererti dia boleh membicarakan semua kes termasuk hudud dan qisas. Tabari melihat tujuan perlantikan Hakim ialah untuk melaksanakan keadilan yang mutlak. Oleh yang demikian jawatan hakim boleh diberikan kepada sesiapa sahaja yang mampu mnyelesaikan perselisihan antara pihak-pihak yang berbalah. Menurut beliau hadis Abi Bakrah yang meriwayatkan bahawa sesuatu kaum itu tidak akan berjaya jika urusan mereka diketuai oleh wanita adalah ditujukan untuk jawatan ketua negara sahaja seperti yang ditentukan oleh nas hadis itu sendiri dan tidak ada nas yang mengaitkan wanita dengan perjawatan Hakim. Ibn Hazam juga berpendapat bahawa wanita-wanita harus dilantik menjadi Hakim kerana keperempuanan seseorang wanita tidak memberi kesan terhadap kemampuannya memahami hujah dan keterangan dan tidak menghalangnya menyelesaikan perbalahan.

ULASAN DAN KESIMPULANNYA

Satu hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah alasan yang diberikan oleh ulama’ tadi ialah untuk menguatkan pendapat mereka supaya bernilai dan munasabah. Namun saya berpendapat keadaan yang wujud pada hari ini, seperti Mahkamah Syariah tidak ada membicarakan kes-kes hudud dan qisas serta Hakim-Hakim lelaki yang kini dilantik tidak bertaraf Mujtahid hanya Muqallid mengikut muqalladnya (Kadi Dharurat). Manakala segala hukuman yang ditentu telah diperuntukkan dalam Undang-Undang Jenayah serata bidangkuasa dan perlaksanaannya telah ditentukan dalam Undang-Undang Pentadbiran, Tatacara Mal dan Jenayah serta Undang-Undang Keluarga dll.

Begitu juga keperluan masyarakat Islam masa kini adalah asas kepada pemilihan pendapat ulama yang mungkin dapat kita terima dan amalkan. Manakala pemerintah/kerajaan atas kapasiti melaksanakan urusan pentadbiran negaranya boleh menerima atau mengambil mana-mana pendapat untuk maslahah ammah atau kepentingan awam dan demi melaksanakan keadilan. Mengambil pendekatan golongan minoriti bukanlah satu yang asing dan pelik dalam ilmu fiqh. Secara umummya walaupun pemakaian Mazhab Syafei adala pandangan yang dominan di Malaysia, ada juga beberapa amalan dipakai mengambil kira pandangan Mazhab Hanafi. Antaranya pembayaran zakat fitrah menggunakan wang menggantikan beras seperti yang disyaratkan Mazhab Syafei. Pemakaian kepada pandangan monoriti ini berlaku setelah mengambil kira maslahah serta peredaran zaman.

Hakim wanita Mahkamah Keluarga Morocco

Pendapat Mazhab Abu Hanifah/pendapat kedua yang senderhana mungkin boleh membantu kita menyelesaikan soal perlantikan wanita sebagai Hakim dewasa ini. Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia pada 6 April 2006 telah memutuskan bahawa wanita harus menjadi Hakim Syarie, selari dengan pendapat Imam Abu Hanifah tersebut. Di negara Sudan, Yemen, Maghribi telah melantik Hakim wanita dan kini di Malaysia dua orang wanita telahpun dilantik menjadi Hakim.

Wallahua’alam bissawaab.


Disusun oleh;

Dato’ Haji Muhamad Asri Hj Abdullah.

7 September 2010. Putrajaya.


Friday, August 20, 2010

Pelaksanaan Hukuman Sebatan Di Mahkamah Syariah (Part 2)

6. KADAR HUKUMAN SEBAT

6.1 Dalam menentukan kadar hukuman sebat bagi kes Ta’zir, para fuqaha tidak bersependapat sama ada di dalam menentukan kadar minimum mahupun maksimum bagi hukuman tersebut. Dalam menentukan kadar minimum, setengah Fuqaha berpendapat sekurang-kurangnya 3 kali rotan atau sebatan.Tetapi menurut pendapat lain tidak ada kadar tertentu yang minimum bagi hukuman Ta’zir kerana kesan pencegahan biasanya berbeza anatara seorang dengan seorang yang lain.

6.2 Fuqaha juga berselisihan pendapat dalam menentukan kadar yang paling tinggi dalam hukumanTa’zir. Pendapat masyhur dalam Mazhab Maliki mengatakan bahawa kadar hukuman yang dijatuhkan adalah bergantung kepada pihak pemerintah dalam menentukannya. Ini kerana, hukuman Ta’zir diharuskan untuk kepentingan umum, maka ianya terpualang atau bergantung kepada pemerintah untuk membuat penilainan menurut maslahat dalam bentuk kesalahan yang dilakukan. Oleh keran itu, dalam Mazhab Maliki telah berpendapat, seseorang yang melakukan kesalahan boleh dirotan lebih dari 100 kali rotan, iaitu melebihi apa yang dapat dilakukan dalam kesalahan Hudud.

6.3 Manakala Abu Yusuf pula berpendapat kadar maksimum tersebut ialah 75 kali.

6.4 Abu Hanifah, Muhammad bin Hassan dan ulama’ Syafie serta Hanbali juga telah bersepakat bahawa Ta’zir tidak melebihi hukuman Hudud, walaupun ia perlu lebih dari hukuman Had Qazaf.

7. ALAT SEBATAN

7.1 Sebagaimana yang telah dinyatakan dalam kebanyakan kitab Taurat, alat sebatan tidaklah dalam saru jenis dan satu bentuk sahaja. Sebat bolehlah dijalankan dengan menggunakan rotan ataupun pelepah tamar ,ranting kayu atau hujung kain semuanya boleh digunakan. Para Fuqaha telah bersepakat mengatakan bahawa untuk menyebat peminum arak maka sudah cukup dan tercapai maksudnya dengan menggunakan hujung kain atau pelepah tamar.

7.2 Sekiranya digunakan rotan dan sebagainya maka hendaklah rotan tersebut dalam bentuk yang sederhana ukurannnya dan tidak terlalu muda atau tidak terlalu tua dan tidak yang berbuku-buku atau pecah-pecah atau seumpamanya supaya tidak boleh mencederakan atau menyebabkan luka parah keatas pesalah. Ini keran tujuan hukuman sebat adalah tidak bertujuan untuk membinasakan pesalah tetapi bertujuan mencegah dan melarang serta memberi pengajaran kepadanya.

Sebagaimana yang telah dinyatakan dalam sebuah hadis yang berikut :-

Maksudnya:

Diriwayatkan oleh Malik dari Zaid bin Aslam katanya : seorang lelaki telah mengaku berzina di Zaman Rasulullah S.A.W maka Rasulullah meminta sebatang tongkat untuk disebat lelaki itu, apabila tongkatnya dikehendaki dikemukakan kepada baginda Rasulullah didapati tongkat itu pecah-pecah, lalu baginda meminta tongkat yang lain, apabila tongkat yang kedua dibawa kepadanya didapati pula tongkat itu daripada dahan kayu yang baru dipotong, Rasulullah S.A.W menolaknya lagi dan meminta tongkat lain. Akhirnya diberi kepada baginda tongkat yang sederhana yang tidak keras, Rasulullah menerimanya dan memerintahkan supaya disebat dengannya.

8. CARA MELAKSANAKAN SEBATAN

8.1 Ketika melaksanakan hukuman sebat hendaklah dengan cara sebatan yang sederhana. Orang yang menyebat tidak boleh mengangkat tangannya hingga ke paras kepalanya atau dengan lain perkataan ia tidak boleh mengangkat tinggi tangannya sehingga Nampak putih ketiaknya dan disebat berturut-turut supaya sampai kepada matlamat dan tujuannya.

8.2 Saidina Umar al-Khattab r.a pernah menghukum sebat pesalah hudud di zamannya dan beliau telah berkata kepada orang yang akan menyebat : “Sebatlah ia dan jangan angkat tanganmu sehingga nampak ketiak.”Ketiak Umar melihat yang memukul pesalah itu agak terkuat dari yang sepatutnya Umar r.a berkata kepada yang menyebat :“kamu tidak menyebat akan tetapi kamu membunuhnya.”

9. TEMPAT PUKULAN DALAM HADD DALAM SEBAT

9.1 Wajib menurut ulama’ Hanafi agar tidak menumpukan pukulan pada satu tempat sahaja kerana boleh membawa kepada merosakkan anggota atau mengoyakkan kulitnya. Pukulan itu hendaklah ditujukan kepada pelbagai tempat dan hendaklah dijauhi daripada tempat-tempat yang ditakuti boleh membunuh seperti muka, kepala, dada, perut dan anggota kemaluan. Saidina Ali berkata kepada tukang sebat maksudnya : “Pukul dia dan berilah setiap anggota haknya dan menjauhi muka dan kemaluannya.”

9.2 Iman malik pula berpendapat bahagian yang dipukul semasa menjalankan Hadd adalah belakang badan dan anggota yang berdekatan dengannya.

9.3 Iman Syafie berpendapat pukulan hendaklah ditujukan kepada pelbagai anggota, dan hendaklah menjauhi faraj, rusuk dan semua anggota yang ditakuti. Ini adalah berdasarkan riwayat daripada Umar bahawa beliau menemui seorang jariah yang sedang dilakukan had kepadanya, lalu beliau berkata maksudnya : “Kamu pergilah kepadanya, pukullah dan janganlah mengoyakkan kulitnya.” Ini kerana maksud daripada had adalah mencegah tanpa bertujuan untuk membunuh.

9.4 Imam Ahmad pula berpendapat, boleh memukul pada semua anggota kecuali kepada tiga tempat iaitu kepala, muka dan kemaluan sama ada lelaki atau perempuan, keran dia berpendapat bahawa selain daripad tiga tempat yang dinyatakan bukanlah tempat yang boleh menyebabkan kematian.

10. KEADAAN PESALAH

10.1 Ketika menjalani hukuman, pesalah lelaki dikehendaki berdiri manakala pesalah perempuan dalam keadaan duduk dan tidak boleh dilucutkan pakaian biasa mereka yang menutup aurat seperti baju, seluar, kain sarung dan sebagainya. Dikecualikan pakaian-pakaian yang tebal atau yang boleh menghalang dari rasa sakit yang menjadi matlamat utama dan terpenting dalam hukuman sebat dan jika mereke berpakaian demikian (tebal) hendaklah digantikan dengan pakaian nipis (sederhana).

10.2 Ini berdasarkan riwayat daripada “Abdullah bin Mas’ud r.a bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

Terjemahan : “Tidak ada pada umat ini, perebahan, pembogelan, pembelengguan dan pengikatan.”

Maksudnya pembelengguan dalam hadis di atas ialah pesalah tidak boleh dibelenggu hanya bagi kes hudud sahaja kerana pesalah yang menarik iqrarnya akan menggugurkan hukuman hadd. Manakala bagi kes ta’zir pesalah boleh dibelenggu malahan belenggu ataupun salib adalah merupakan sebahagian daripada hukuman ta’zir. Ini telah dijelaskan oleh al-Mawardi di dalam Kitab al-Ahkam al-Sultaniyyah Wa al-Wilayati al-Dinniyah kerana Rasulullah S.A.W pernah melaksanakan hukuman salib ke atas seorang lelaki di atas sebuah bukit.

Dalam kes ta’zir sesuatu kelakuan yang telah dibuat tidak boleh ditarik balik, oleh itu ia berbeza dengan kesalahan hudud dimana pengakuan yang dibuat boleh ditarik balik sama ada melalui lisan ataupun perbuatan. Dari segi perbuatan seseorang yang megelakkan dirinya daropada disebat ataupun lari adalah dianggap seumpama menarik pengakuannya. Itulah hikmahnya pembelengguan tidak boleh dilakukan terhadap pesalah dalam kes hudud.

10.3 Menurut Imam Malik, dalam setiap sebatan hudud lelaki dibiarkan tidak berpakaian melainkan antara pusat dan lutut, kerana perintah menyebat menghendaki secara langsung pada tubuhnya.




11. PESALAH MENGANDUNG

Bagi pesalah mengandung hukuman sebat tidak boleh dilaksanakan sehingga pesalah tersebut melahirkan anak sama ada anak kandungan itu adalah hasil dari perbuatan zina atau tidak. Pesalah tersebut juga hendaklah sembuh daripada sakit beranak serta suci dari darah nifas dan sehingga tenaganya pulih.

12. PESALAH SAKIT

12.1 Jika didapati pesalah dalam keadaan sakit dan mempunyai harapan untuk sembuh, pelaksanaan sebat hendaklah ditangguh sehingga pesalah tersebut betul-betul sembuh. Sebaliknya jika penyakitnya tidak ada harapan langsung untuk sembuh bolehlah dijalankan hukuman sebat serta merta dengan satu syarat bahawa rotan yang akan digunakan tidak akan membinasakan atau membunuhnya.

12.2 Diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W pernah menyuruh supaya dijalankan hukuman sebat ke atas seorang lelaki yang sedanng sakit merana dengan satu pukulan dengan 100 mayang tamar yang diikat (seikat) kerana lelaki itu telah melakukan zina.

13. PELAKSANAAN HUKUMAN SEBAT DIHENTIKAN

13.1 Hukuman sebat dihentikan dan tidak boleh dilaksanakan apabila timbul dan berbangkit sesuatu yang boleh mengugurkan hukuman hudud iaitu :

1. Apabila pesalah menarik pengakuannya sebelum dilaksanakan hukuman.

2. Apabila saksi-saksi mengubah pendirian dan menarik balik kesaksian mereka sebelum dilaksanakan hukuman sama ada secara beramai-ramai atau sebahagian darinya sekiranya bilangan saksi yang tinggal kurang dari 4 orang.

14. MASA MELAKSANAKAN HUKUMAN SEBAT

14.1 Hukuman sebat hendaklah dilaksanakan pada masa dan keadaan yang sesuai iaitu tidak dalam keadaan cuaca yang panas atau sejuk kerana boleh membawa kemudaratan kepada pesalah. Manakala ketika pelaksanaannya juga hendaklah dijalankan dihadapan sekumpulan orang mukmin.

Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah an-Nur ayat 2

Maksudnya :

Dan hendaklah perlaksanaan hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.

14.2 Menurut pendapat Mujahid berdasarkan ayat diatas maksud sekumpulan iaitu seorang lelaki ke atas sehingga sampai kepada 1000 orang.

14.3 Manakala pendapat Ibnu Ziad pula berkata : “Bahawa tak dapat tidak mesti dihadiri sekurang-kurangnya oleh 4 orang dari kalangan orang-orang yang beriman sebagai qias dengan 4 orang saksi dalam kes zina.” Dan pendapat ini adalah selaras dan sama dengan pendapat Imam Malik dan Imam Syafie.

15. PENUTUP

Kesimpulannya dengan terlaksananya hukuman sebat maka tercapailah kebaikan dan kepentingan umum (orang ramai) kerana Islam memandang dan mementingkan kebaikan atau kemaslahatan oaring ramai iaitu lebih utama dari kemaslahatan perseorangan kerana dengan itu juga terhindarlah kerosakan, keruntuhan moral dan sebagainya seterusnya terciptalah kemuliaan dan kebahagiaan serta sentiasa mendapat inayah, rahmat dan pertolongan Allah S.W.T. Dengan ini juga, beberapa cadangan telah dikemukan untuk tindakan sebagaimana kuasa yang telah diberikan di bawah seksyen 229 untukmembuat Kaedah-Kaedah Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan). Sebagaimana yang berikut :

1. Satu kaedah Hukuman Sebat digubal bagi menjalankan peruntukkan seksyen 125 hingga 126 (hukuman sebat). Sebagaimana kuasa yang telah diberikan di bawah Seksyen 229 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan).

2. Kaedah-kaedah yang digubal tersebut juga adalah dicadangkan supaya diselaraskan di semua negeri-negeri di Malaysia.

3. Mencadangkan satu pindaan keatas Peraturan-Peraturan Penjara 2000 yang memberi peruntukkan kepada Pengawai penjara untuk melaksanakan Hukuman Sebat.

4. Dicadangkan di dalam melaksanakan hukuman sebat yang dijatuhkan di bawah Mahkamah Syariah, tauliah hendak diberikan kepada Pengawai Penjara yang akan melaksanakan hukuman tersebut.

5. Perlantikan seorang Pengawai Sebat Syarie untuk jangka masa panjang.

BIBLIOGRAFI

1. Tafsir al-Qur’an al-Karim (Pimpinan Al-Rahman)

2. Al-Syaukani, Al-Syeikh al- Imam Muhammad Bin Ali Muhammad al-Syaukani. 1999. Nail al-Autar.Beirut. Dar al Kutub al-Ilmiah. Jld 8.

3. Al-Sana’ani. Muhammad Bin Ismail. 2000. Subul al-Salam. Bairut dar al-Fikr. Jld 4.

4. Al-Imam Abi Hassan al-Hanafi. 2000. Sunan Ibn majah, Lubnan. Darul Kutub al-Ilmiah. Jld 3.

5. Al-Sayuti. Al-Iman Jalaluddin Abd Rahman al-Sayuti. Al-Muwatta. Maghribi. Darul afaq.

6. Dr. Jabar Mahmud. Suqut al-Uqubati Fi al-Fiqh al-Islami.Jordan. Darul E’mar. Jld 3&4.

7. Wahbah al-Zuhayli. Fiqh al-Islami Wa Adilatuhu. Beirut. Dar al-Fikr. Jld 7.

8. Al-Mawardi. Al-Ahkam al-Sultaniyyah Wa al-Wilayah al-Dinniyah.Beirut. Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.

*Dato’ Haji Muhamad Asri bin Haji Abdullah, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Beliau juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kecil Kaedah Sebat Mahkamah Syariah JKSM. Sebelum berkhidmat di JKSM, beliau merupakan Ketua Hakim Syarie Negeri Perak Darul Ridzuan.

Pelaksanaan Hukuman Sebatan Di Mahkamah Syariah (Part 1)

PENDAHULUAN

Hukuman sebat tersebut telah diperuntukkan di dalam semua Enakmen Undang-Undang Tatacara Jenayah Syariah bagi kebanyakan negeri-negeri di Malaysia dan telah berkuatrkuasa mengikut tarikh-tarikh yang telah ditentukan . Manakala di dua buah negeri iaitu Terengganu dan Kelantan mempunyai Kaedah- Hukuman Sebat yang khusus yang telah mula berkuatkuasa di Kelantan pada 1hb. Mei 1987 (Kanun Jenayah Syariah 1985). Di Terengganu mula berkuatkuasa pada 27 Oktober 2003 di bawah Kaedah Hukuman Sebat dalam Jadual V (Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002).

Bagi tujuan penjelasan dalam artikel ini penulis akan mengambil contoh Keadah Hukuman Sebat ini akan mengguna pakai Seksyen 125 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560) yangmana isi kadungan hampiran sama di semua negeri di Malaysia.

2. SEBAT

2.1 Takrif sebat berdasarkan Kaedah-Kaedah Hukuman Sebat 1987 (Negeri Kelantan bererti pukulan dengan rotan oleh pengawai yang ditugas khas oleh pihak berkuasa penjara.

2.2 Hukuman seabat merupakan salah satu hukuman di dalam perundangan Islam. Antara tujuan perlaksanaannya ialah:-

i. Supaya sesiapa yang menerima hukuman atau melihatnya akan menjauhi dari melakukan jenayah atau kesalahan.

ii. Membersihkan masyarakat dari perbuatan dan tabiat yang keji dan hina.

iii. Menghindarkan masyarakat dari perbuatan dan tabiat yang keji dan hina.

iv. Mengamankan masyarakat dari bahaya dan ancaman jenayah.

v. Untuk menjadi teladan yang paling berguna untuk mengatasi perbuatan-perbuatan jenayah.

vi. Supaya mereka takut untuk mendekati perbuatan-perbuatan yang keji.

2.3 Di dalam perundangan Islam, hukuman sebat terbahagi kepada dua bahagian:-

1. Sebat dalam masalah hudud iaitu seksaan yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T yang wajib dilaksanakan sebagai menunaikan hak dan perintah Allah S.W.T.

2. Sebat dalam masalah ta’zir iaitu seksaan bagi kesalahan-kesalahan selain daripada kesalahan hudud, qisas, diat, kifarat dan erti ta’zir ialah denda yang memberi pengajaran.

2.4 Syara’ tidak menetapkan sesuatu seksaan atau hukuman tertentu sebagai kesalahan ta’zir dan cukup serta memadai dengan menetapkan kumpulan hukuman dari serendah-rendahnya kepada seberat-beratnya dan sesudah itu diserahkan kepada pihak pemerintah untuk memilih dan menentukan mana-mana hukuman yang sesuai mengikut suasana dan keadaan masalah itu sendiri. Ini adalah kerana tujuan utama perlaksanaan hukuman ta’zir dalam syariat Islam ialah pencegahan dan pengajaran disamping pemulihan dan pendidikan ataupun al-ta’dib.

3. DALIL PENSYARIATAN SEBAT DALAM HUKUMAN HUDUD

1. Kesalahan Zina

Bagi kesalahan zina, sebat ataupun rotan merupakan salah satu hukuman keatas penzina yang muhsan. Sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nur ayat 2:-

Maksudnya:-

Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang daripadanya 100 kali sebatan : Dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukuman agama Allah, Jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat : Dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.

Sebagaimana yang diriwayatkan dlam sebuah hadis:-

Maksudnya:-

Ambilah dariku, sesungguhnya Allah telah menentukan bagi mereka jalan, anak dara dan teruna seratus kali dan buang daerah selama setahun, dan yang sudah berkahwin 100 rotan dan rejam dengan batu.

(Riwayat Muslim, Abu Daud dan at Tarmizi dari Ubbadah bin as Sormit)

2. Menuduh Zina (Qazaf)

Dalam perundangan Islam bahawa sesiapa yang menuduh seseorang dengan perbuatan yang haram (zina), maka wajib seseorang yang membuat tuduhan tersebut (Qazaf) Membuktikan kebenaran ataupun dakwaan tersebut, akan tetapi jika seseorang itu gagal atau engan dalam pembuktian, maka dia akan dikenakan hukuman haddberdasarkan firman Allah S.W.T dalam surah an-Nur ayat 4:

Maksudnya:

Dan orang-orang yang menemparkan tuduhan zina kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat orang saksi, maka sebatlah mereka 80 kali sebat: Dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya: Kerana mereka adalah orang yang fasik.

3. Meminum Arak

1. Jumhur Fuqaha mengatakan hukuman had bagi orang yang minum arak dan mabuk ialah lapan puluh kali sebatan. Sebagaimana diriwayatkan :

Maksudnya:

Daripada Saidina Ali bin Abi Talib k.w pernah berkata: “Apabila seseorang minum dia mabuk, dan apabila dia mabuk dia meracau, dan apabila dia meracau dia boleh berdusta (menuduh orang berzina) danhad tuduhan zina ialah 80 kali sebatan”. Dan tidak ada seorang pun yang mengingkarinya. Oleh itu ia telah menjadi satu ijma.

2. Sementara itu Ulama Syafie mengatakan bahawa hukuman had bagi orang yang meminum arak termasuklah semua bahan yang memabukkan ialah sebanyak 40 kali sebatan. Bagaimanapun baginda Cuma menyebat pemabuk dengan bilangan sebatan yang tidak tetap.

3. Sebagaimana yang telah diriwayatkan :

Bermaksud:

Saidina Ali Bin Abi Talib k.w telah berkata, “Nabi Muhammad S.A.W telah menyebat sebanyak 40 kali sebatan, Saidina Abu Bakar 40 kali dan Saidina Umar 80 kali kesemuanya adalah sunnah dan yang ini (80 kali) lebih saya suka.”

4. DALIL PENSYARIATAN HUKUMAN SEBAT DALAM KES TA’ZIR

4.1 Hukuman sebat atas kesalaha-kesalahan Ta’zir telah disyariatkan oleh hadis dan ijma’. Antara nas-nas mengenai hukuman ini dlam kes-kes Ta’zir ialah :

i. Dalam hadis dari Abu Burdah bahawa dia pernah mendengar Nabi S.A.W bersabda terjemaahannya berbunyi :

“Sesiapa yang melampaui batas selain daripada Hudud mereka adalh orang-orang yang melampaui batas.”

Hadis ini membawa erti harus mengenakan hukuma rotan kepada kesalahan-kesalahan yang bukan dari kesalan-kesalahn Hudud.

ii. Sebagaimana yang telah dinyatakan dalam sebuah hadis yang lain :-

“Daripada Abu Hurairah r.a telah berkata, Rasululllah S.A.W telah bersabda: “Apabila kamu memukulnya hendaklah menjauhi mukanya.”

iii. Terdapat riwayat bahawa Ma’in bin Zaidah telah membuat mohor menyerupai ukiran mohor Baitulmal, kemudian ia membawanya kepada petugas Baitul mal dan mengambil harta daripadanya. Perkar ini sampai kepada Saidina Umar r.a lalu beliau memukul Ma’in 100 kali sebatan dan menahannya. Ma’in membantahnya lalu Saidina Umar memukulnya 100 kali lagi, tetapi Ma’in membantah lagi selepas itu dan Saidina Umar memukulnya dan meletakkannya dalam buangan. Sebenarnya Saidina Umar menyebat Ma’in atas beberapa jenayah, aiatu memalsukan mohor Baitulmal, mengambil harta daripada Baitulmal dan membuat penipuan kepada orang lain.

iv. Diriwayatkan bahawa Saidina Abu Bakar r.a pernah memukul seorang lelaki dengan 100 kali kerana didapati lelaki itu tidur sekatil dengan seorang wanita ajnabiah(bukan muhrim).

v. Berasakan dalil-dalil inilah para Khulafa’ al-Rasyiddin dan pemerintah-pemerintah Islam berpegang bahawa sebat boleh dilaksanakan sebagai salah satu dari hukuman Ta’zir dan menjadinya sebagai salah satu ijma fuqaha.

5. PELAKSANAAN SEBAT MENIKUT PERUNTUKAN-PERUNTUKAN STATUTORI

Perlaksanaan hukuman sebat telah diperuntukan di dalam semua Enakmen Undang-Undang Tatacara jenayah Syariah bagi kebanyakan negeri-negeri di Malaysia kecuali 2 buah negeri iaitu Perlis dan Kedah. Negeri-negeri yang telah meluluskan sebagaimana berikut :

1. Kanun Acara Jenayah (Negeri Perak) 1994 Seksyen 121

2. Ordinan Prosedur Jenayah Syariah ( Negeri Sabah) 1993 Seksyen 123

3. Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Johor) 2003 Seksyen 125

4. Enakmen Tatacara jenaya Syariah (Negeri Pahang) 2002 Seksyen 125

5. Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Melaka) 2002Seksyen 125

6. Akta Prosedur jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Seksyen 125

7. Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003Seksyen 125

8. Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002 Seksyen 125

9. Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Kelantan) 2002Seksyen 125

10. Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996Seksyen 125

11. Ordinan Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Sarawak) 2001Seksyen 125

12. Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 2003Seksyen 125

Di dalam Seksyen 125 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560) telah memperuntukkan sebagaimana berikut :-

Hukuman Sebat

125. (1) Peruntukan seksyen ini dan seksyen 126 hendaklah terpakai apabila tertuduh dihukum sebat.

(2) Alat sebatan, tidak termasuk pemegangnya, hendaklah dari jenis yang sama dan dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

(3) Peruntukan yang berikut hendaklah diikuti apabila melaksanakan hukuman sebat, iaitu –

a) Sebelum hukuman itu dilaksanakan, pesalah hendaklah diperiksa oleh seorang Pengawai Perubatan Kerajaan untuk diperakui bahawa pesalah itu adalah dalam keadaan kesihatan yang baik untuk menjalani hukuman itu;

b) Jika pesalah itu sedang hamil, pelaksanaan itu hendaklah ditangguhkan sehingga tamat tempoh dua bulan selepas bersalin atau keguguran, mengikut mana-mana yang berkenaan;

c) Hukuman hendaklah dilaksanakan di hadapan seorang Pengawai Perubatan Kerajaan dimana-mana tempat sebagaimana yang diarahkan oleh Mahkamah atau di suatu tempat yang ditetapkan oleh Kerajaan negeri bagi maksud itu;

d) Orang yang dilantik untuk melkasanakan hukuman itu hendaklah seorang yang adil dan matang;

e) Orang itu hendaklah menggunakan alat sebatan dengan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangannya melebihi kepalanya supaya tidak melukakan kulit pesalah;

f) Selepas mengenakan satu sebatan, dia hendaklah mengangkat alat sebatan itu ke atas dan tidak menariknya;

g) Sebatan boleh dikenakan ke seluruh bahagian tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian-bahagian sulit;

h) Pesalah hendaklah memakai pakaian mengikut Hukum Syarak;

i) Jika pesalah itu lelaki, sebatan hendaklah dikenakan dalam keadaan dia berdiri, dan jika pesalah itu perempuan, dalam keadaan dia duduk;

j) Jika semasa pelaksanaan hukum sebat itu Pengawai Perubatan Kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, sebatan itu hendaklah ditangguhkan sehingga Pengawai Perubatan itu memperakui bahawa pesalah itu sihat tubuhnya untuk menjalani baki hukuman itu.

(4) Dalam hal pesalah itu dihukum sebat sahaj, maka dia hendaklah diperlakukan seolah-olah dia dihukum dengan hukuman pemenjaraan sehingga hukuman itu dilaksanakan.

(5)Jika Pengawai Perubatan Kerajaan memperakui bahawa pesalah itu, oleh sebab umur tua, keuzuran atau apa-apa sebab lain tidak dapat menjalani hukuman sebat pada keseluruhannyaatau sebahagiannya, maka kes itu hendaklah dirujukkan kepada Mahkamah yang boleh memerintahkan hukuman itu dilaksanakan menikut cara yang difikirkannya munasabah.

Huraian-Umur tua ertinya telah mencapai lima puluh tahun atau lebih.


Masa melaksanakan hukuman sebat

126. (1) Apabila tertuduh dihukumsebat sebagai tamabahn kepada hukuman pemenjaraan, hukuman sebat itu tidaklah boleh dikenakan jika suatu rayuan dibuat dan sehingga hukuman itu disahkan oleh Mahkamah Rayuan yang berkenaan.

(2) Sebatan itu hendaklah dikenakan dengan seberapa segera yang praktik dan dalam hal suatu rayuan, dengan seberapa segera yang praktik selepas penerimaan Mahakamah Rayuan yang berkenaan yang mengesahkan hukuman itu.