Pages

Friday, August 20, 2010

Pelaksanaan Hukuman Sebatan Di Mahkamah Syariah (Part 2)

6. KADAR HUKUMAN SEBAT

6.1 Dalam menentukan kadar hukuman sebat bagi kes Ta’zir, para fuqaha tidak bersependapat sama ada di dalam menentukan kadar minimum mahupun maksimum bagi hukuman tersebut. Dalam menentukan kadar minimum, setengah Fuqaha berpendapat sekurang-kurangnya 3 kali rotan atau sebatan.Tetapi menurut pendapat lain tidak ada kadar tertentu yang minimum bagi hukuman Ta’zir kerana kesan pencegahan biasanya berbeza anatara seorang dengan seorang yang lain.

6.2 Fuqaha juga berselisihan pendapat dalam menentukan kadar yang paling tinggi dalam hukumanTa’zir. Pendapat masyhur dalam Mazhab Maliki mengatakan bahawa kadar hukuman yang dijatuhkan adalah bergantung kepada pihak pemerintah dalam menentukannya. Ini kerana, hukuman Ta’zir diharuskan untuk kepentingan umum, maka ianya terpualang atau bergantung kepada pemerintah untuk membuat penilainan menurut maslahat dalam bentuk kesalahan yang dilakukan. Oleh keran itu, dalam Mazhab Maliki telah berpendapat, seseorang yang melakukan kesalahan boleh dirotan lebih dari 100 kali rotan, iaitu melebihi apa yang dapat dilakukan dalam kesalahan Hudud.

6.3 Manakala Abu Yusuf pula berpendapat kadar maksimum tersebut ialah 75 kali.

6.4 Abu Hanifah, Muhammad bin Hassan dan ulama’ Syafie serta Hanbali juga telah bersepakat bahawa Ta’zir tidak melebihi hukuman Hudud, walaupun ia perlu lebih dari hukuman Had Qazaf.

7. ALAT SEBATAN

7.1 Sebagaimana yang telah dinyatakan dalam kebanyakan kitab Taurat, alat sebatan tidaklah dalam saru jenis dan satu bentuk sahaja. Sebat bolehlah dijalankan dengan menggunakan rotan ataupun pelepah tamar ,ranting kayu atau hujung kain semuanya boleh digunakan. Para Fuqaha telah bersepakat mengatakan bahawa untuk menyebat peminum arak maka sudah cukup dan tercapai maksudnya dengan menggunakan hujung kain atau pelepah tamar.

7.2 Sekiranya digunakan rotan dan sebagainya maka hendaklah rotan tersebut dalam bentuk yang sederhana ukurannnya dan tidak terlalu muda atau tidak terlalu tua dan tidak yang berbuku-buku atau pecah-pecah atau seumpamanya supaya tidak boleh mencederakan atau menyebabkan luka parah keatas pesalah. Ini keran tujuan hukuman sebat adalah tidak bertujuan untuk membinasakan pesalah tetapi bertujuan mencegah dan melarang serta memberi pengajaran kepadanya.

Sebagaimana yang telah dinyatakan dalam sebuah hadis yang berikut :-

Maksudnya:

Diriwayatkan oleh Malik dari Zaid bin Aslam katanya : seorang lelaki telah mengaku berzina di Zaman Rasulullah S.A.W maka Rasulullah meminta sebatang tongkat untuk disebat lelaki itu, apabila tongkatnya dikehendaki dikemukakan kepada baginda Rasulullah didapati tongkat itu pecah-pecah, lalu baginda meminta tongkat yang lain, apabila tongkat yang kedua dibawa kepadanya didapati pula tongkat itu daripada dahan kayu yang baru dipotong, Rasulullah S.A.W menolaknya lagi dan meminta tongkat lain. Akhirnya diberi kepada baginda tongkat yang sederhana yang tidak keras, Rasulullah menerimanya dan memerintahkan supaya disebat dengannya.

8. CARA MELAKSANAKAN SEBATAN

8.1 Ketika melaksanakan hukuman sebat hendaklah dengan cara sebatan yang sederhana. Orang yang menyebat tidak boleh mengangkat tangannya hingga ke paras kepalanya atau dengan lain perkataan ia tidak boleh mengangkat tinggi tangannya sehingga Nampak putih ketiaknya dan disebat berturut-turut supaya sampai kepada matlamat dan tujuannya.

8.2 Saidina Umar al-Khattab r.a pernah menghukum sebat pesalah hudud di zamannya dan beliau telah berkata kepada orang yang akan menyebat : “Sebatlah ia dan jangan angkat tanganmu sehingga nampak ketiak.”Ketiak Umar melihat yang memukul pesalah itu agak terkuat dari yang sepatutnya Umar r.a berkata kepada yang menyebat :“kamu tidak menyebat akan tetapi kamu membunuhnya.”

9. TEMPAT PUKULAN DALAM HADD DALAM SEBAT

9.1 Wajib menurut ulama’ Hanafi agar tidak menumpukan pukulan pada satu tempat sahaja kerana boleh membawa kepada merosakkan anggota atau mengoyakkan kulitnya. Pukulan itu hendaklah ditujukan kepada pelbagai tempat dan hendaklah dijauhi daripada tempat-tempat yang ditakuti boleh membunuh seperti muka, kepala, dada, perut dan anggota kemaluan. Saidina Ali berkata kepada tukang sebat maksudnya : “Pukul dia dan berilah setiap anggota haknya dan menjauhi muka dan kemaluannya.”

9.2 Iman malik pula berpendapat bahagian yang dipukul semasa menjalankan Hadd adalah belakang badan dan anggota yang berdekatan dengannya.

9.3 Iman Syafie berpendapat pukulan hendaklah ditujukan kepada pelbagai anggota, dan hendaklah menjauhi faraj, rusuk dan semua anggota yang ditakuti. Ini adalah berdasarkan riwayat daripada Umar bahawa beliau menemui seorang jariah yang sedang dilakukan had kepadanya, lalu beliau berkata maksudnya : “Kamu pergilah kepadanya, pukullah dan janganlah mengoyakkan kulitnya.” Ini kerana maksud daripada had adalah mencegah tanpa bertujuan untuk membunuh.

9.4 Imam Ahmad pula berpendapat, boleh memukul pada semua anggota kecuali kepada tiga tempat iaitu kepala, muka dan kemaluan sama ada lelaki atau perempuan, keran dia berpendapat bahawa selain daripad tiga tempat yang dinyatakan bukanlah tempat yang boleh menyebabkan kematian.

10. KEADAAN PESALAH

10.1 Ketika menjalani hukuman, pesalah lelaki dikehendaki berdiri manakala pesalah perempuan dalam keadaan duduk dan tidak boleh dilucutkan pakaian biasa mereka yang menutup aurat seperti baju, seluar, kain sarung dan sebagainya. Dikecualikan pakaian-pakaian yang tebal atau yang boleh menghalang dari rasa sakit yang menjadi matlamat utama dan terpenting dalam hukuman sebat dan jika mereke berpakaian demikian (tebal) hendaklah digantikan dengan pakaian nipis (sederhana).

10.2 Ini berdasarkan riwayat daripada “Abdullah bin Mas’ud r.a bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

Terjemahan : “Tidak ada pada umat ini, perebahan, pembogelan, pembelengguan dan pengikatan.”

Maksudnya pembelengguan dalam hadis di atas ialah pesalah tidak boleh dibelenggu hanya bagi kes hudud sahaja kerana pesalah yang menarik iqrarnya akan menggugurkan hukuman hadd. Manakala bagi kes ta’zir pesalah boleh dibelenggu malahan belenggu ataupun salib adalah merupakan sebahagian daripada hukuman ta’zir. Ini telah dijelaskan oleh al-Mawardi di dalam Kitab al-Ahkam al-Sultaniyyah Wa al-Wilayati al-Dinniyah kerana Rasulullah S.A.W pernah melaksanakan hukuman salib ke atas seorang lelaki di atas sebuah bukit.

Dalam kes ta’zir sesuatu kelakuan yang telah dibuat tidak boleh ditarik balik, oleh itu ia berbeza dengan kesalahan hudud dimana pengakuan yang dibuat boleh ditarik balik sama ada melalui lisan ataupun perbuatan. Dari segi perbuatan seseorang yang megelakkan dirinya daropada disebat ataupun lari adalah dianggap seumpama menarik pengakuannya. Itulah hikmahnya pembelengguan tidak boleh dilakukan terhadap pesalah dalam kes hudud.

10.3 Menurut Imam Malik, dalam setiap sebatan hudud lelaki dibiarkan tidak berpakaian melainkan antara pusat dan lutut, kerana perintah menyebat menghendaki secara langsung pada tubuhnya.




11. PESALAH MENGANDUNG

Bagi pesalah mengandung hukuman sebat tidak boleh dilaksanakan sehingga pesalah tersebut melahirkan anak sama ada anak kandungan itu adalah hasil dari perbuatan zina atau tidak. Pesalah tersebut juga hendaklah sembuh daripada sakit beranak serta suci dari darah nifas dan sehingga tenaganya pulih.

12. PESALAH SAKIT

12.1 Jika didapati pesalah dalam keadaan sakit dan mempunyai harapan untuk sembuh, pelaksanaan sebat hendaklah ditangguh sehingga pesalah tersebut betul-betul sembuh. Sebaliknya jika penyakitnya tidak ada harapan langsung untuk sembuh bolehlah dijalankan hukuman sebat serta merta dengan satu syarat bahawa rotan yang akan digunakan tidak akan membinasakan atau membunuhnya.

12.2 Diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W pernah menyuruh supaya dijalankan hukuman sebat ke atas seorang lelaki yang sedanng sakit merana dengan satu pukulan dengan 100 mayang tamar yang diikat (seikat) kerana lelaki itu telah melakukan zina.

13. PELAKSANAAN HUKUMAN SEBAT DIHENTIKAN

13.1 Hukuman sebat dihentikan dan tidak boleh dilaksanakan apabila timbul dan berbangkit sesuatu yang boleh mengugurkan hukuman hudud iaitu :

1. Apabila pesalah menarik pengakuannya sebelum dilaksanakan hukuman.

2. Apabila saksi-saksi mengubah pendirian dan menarik balik kesaksian mereka sebelum dilaksanakan hukuman sama ada secara beramai-ramai atau sebahagian darinya sekiranya bilangan saksi yang tinggal kurang dari 4 orang.

14. MASA MELAKSANAKAN HUKUMAN SEBAT

14.1 Hukuman sebat hendaklah dilaksanakan pada masa dan keadaan yang sesuai iaitu tidak dalam keadaan cuaca yang panas atau sejuk kerana boleh membawa kemudaratan kepada pesalah. Manakala ketika pelaksanaannya juga hendaklah dijalankan dihadapan sekumpulan orang mukmin.

Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah an-Nur ayat 2

Maksudnya :

Dan hendaklah perlaksanaan hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.

14.2 Menurut pendapat Mujahid berdasarkan ayat diatas maksud sekumpulan iaitu seorang lelaki ke atas sehingga sampai kepada 1000 orang.

14.3 Manakala pendapat Ibnu Ziad pula berkata : “Bahawa tak dapat tidak mesti dihadiri sekurang-kurangnya oleh 4 orang dari kalangan orang-orang yang beriman sebagai qias dengan 4 orang saksi dalam kes zina.” Dan pendapat ini adalah selaras dan sama dengan pendapat Imam Malik dan Imam Syafie.

15. PENUTUP

Kesimpulannya dengan terlaksananya hukuman sebat maka tercapailah kebaikan dan kepentingan umum (orang ramai) kerana Islam memandang dan mementingkan kebaikan atau kemaslahatan oaring ramai iaitu lebih utama dari kemaslahatan perseorangan kerana dengan itu juga terhindarlah kerosakan, keruntuhan moral dan sebagainya seterusnya terciptalah kemuliaan dan kebahagiaan serta sentiasa mendapat inayah, rahmat dan pertolongan Allah S.W.T. Dengan ini juga, beberapa cadangan telah dikemukan untuk tindakan sebagaimana kuasa yang telah diberikan di bawah seksyen 229 untukmembuat Kaedah-Kaedah Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan). Sebagaimana yang berikut :

1. Satu kaedah Hukuman Sebat digubal bagi menjalankan peruntukkan seksyen 125 hingga 126 (hukuman sebat). Sebagaimana kuasa yang telah diberikan di bawah Seksyen 229 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan).

2. Kaedah-kaedah yang digubal tersebut juga adalah dicadangkan supaya diselaraskan di semua negeri-negeri di Malaysia.

3. Mencadangkan satu pindaan keatas Peraturan-Peraturan Penjara 2000 yang memberi peruntukkan kepada Pengawai penjara untuk melaksanakan Hukuman Sebat.

4. Dicadangkan di dalam melaksanakan hukuman sebat yang dijatuhkan di bawah Mahkamah Syariah, tauliah hendak diberikan kepada Pengawai Penjara yang akan melaksanakan hukuman tersebut.

5. Perlantikan seorang Pengawai Sebat Syarie untuk jangka masa panjang.

BIBLIOGRAFI

1. Tafsir al-Qur’an al-Karim (Pimpinan Al-Rahman)

2. Al-Syaukani, Al-Syeikh al- Imam Muhammad Bin Ali Muhammad al-Syaukani. 1999. Nail al-Autar.Beirut. Dar al Kutub al-Ilmiah. Jld 8.

3. Al-Sana’ani. Muhammad Bin Ismail. 2000. Subul al-Salam. Bairut dar al-Fikr. Jld 4.

4. Al-Imam Abi Hassan al-Hanafi. 2000. Sunan Ibn majah, Lubnan. Darul Kutub al-Ilmiah. Jld 3.

5. Al-Sayuti. Al-Iman Jalaluddin Abd Rahman al-Sayuti. Al-Muwatta. Maghribi. Darul afaq.

6. Dr. Jabar Mahmud. Suqut al-Uqubati Fi al-Fiqh al-Islami.Jordan. Darul E’mar. Jld 3&4.

7. Wahbah al-Zuhayli. Fiqh al-Islami Wa Adilatuhu. Beirut. Dar al-Fikr. Jld 7.

8. Al-Mawardi. Al-Ahkam al-Sultaniyyah Wa al-Wilayah al-Dinniyah.Beirut. Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.

*Dato’ Haji Muhamad Asri bin Haji Abdullah, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Beliau juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kecil Kaedah Sebat Mahkamah Syariah JKSM. Sebelum berkhidmat di JKSM, beliau merupakan Ketua Hakim Syarie Negeri Perak Darul Ridzuan.

No comments:

Post a Comment