Pages

Tuesday, September 7, 2010

HAKIM SYARIE WANITA?

Hakim Syarie wanita pertama Malaysia

Peranan Hakim Syarie dalam melaksanakan undang-undang Islam dan pentadbirannya adalah amat penting. Hakim adalah orang yang bertanggungjawab sepenuhnya menjaga dan mempertahankan kedaulatan undang-undang. Jawatan Hakim/Kadi pernah dipegang oleh Baginda Rasulullah s.a.w. semasa hayat baginda, dan demikianlah juga dengan Khulafa’ al Rashidin. Mereka merupakan rujukan terakhir dan bertanggung jawab secara langsung terhadap kehakiman dan pentadbirannya.

Di atas kepentingan inilah , maka Islam telah mengenakan syarat-syarat yang ketat untuk seseorang itu boleh dilantik sebagai Hakim. Tujuannya untuk memastikan orang yang memegang jawatan tersebut benar-benar berwibawa dan berkelayakan. Walaupun demikian ,ulama berselisih pendapat dalam soal menentukan bilangan syarat tersebut. Al Ramli,umpamanya, telah memberikan sepuluh syarat. Muhammad Salam Madkhur pula menyebut enam syarat,sedangkan Syeikh Muhammad Isa memberikan empat syarat sahaja.

Sungguhpun mereka berselisih pendapat berhubung dengan penentuan bilangan syarat, pada hakikatnyanya ia melengkapi diantara satu sama lain. Keseluruhan syarat tersebut adalah disimpulkan seperti berikut:

1. Islam

2. Baligh

3. Berakal

4. Merdeka

5. Lelaki

6. Adil

7. Mujtahid

8. Sempurna Pancaindera

Tidak dapat dinafikan pada masa ini sukar sekali mendapatkan seorang Hakim yang menepati semua syarat lantikan. Umumnya hendaklah dilantik orang yang terlayak di kalangan yang layak dan terbaik dikalangan yang ada, dan jawatan itu hendaklah diisi kerana darurat atau berkepentingan awam.

BOLEHKAH WANITA DILANTIK MENJADI HAKIM SYARIE?

Pendapat-pendapat Ulama’:

PENDAPAT PERTAMA (TIDAK BOLEH SAMA SEKALI)

Menurut jumhur ulama’ (Syafei, Maliki dan Hambali) lelaki menjadi syarat perlantikan Hakim/Kadi. Tidak sah melantik wanita menjadi Hakim. Jika dibuat perlantikan keatas mereka,hukuman yang dijatuhkan mereka itu tidak sah. Hujah jumhur ulama’ berdasarkan firman Allah swt yang bermaksud:”Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan)”. (An-Nisaa’:34.)

Dan juga terdapat hadis Rasullah yang menegaskan sesuatu kaum itu tidak akan berjaya jika urusan mereka di tangan wanita.

Menurut Imam al-Mawardi, lelaki mempunyai kelebihan dari segi akal fikiran dan kekuatan, maka tidak harus bagi perempuan mengatasi lelaki.

Al-Sirazi juga telah menjadikan hadis tersebut sebagai hujah dan menegaskan hadis itu sahih. Menurutnya tugas Hakim terpaksa bergaul dengan lelaki dalam membicarakan kes. Maka wanita tidak diharuskan bergaul sedemikian kerana dikhuatiri akan timbul fitnah.


Hakim wanita Mahkamah Juvana, Sana'aa, Yemen


PENDAPAT KEDUA (BOLEH SELAIN KES-KES HUDUD DAN QISAS)

Menurut pendapat Imam Abu Hanifah, wanita boleh mejadi Hakim dalam kes-kes yang ia boleh menjadi saksi dan tidak boleh dalam kes-kes yang ia tidak menjadi saksi seperti dalam kes-kes hudud dan qisas. Hukuman yang dijatuhkan oleh hakim wanita tersebut berdasarkan perlantikan itu adalah sah dan berkuatkuasa dalam kes-kes selain kes-kes hudud dan qisas jika hukuman itu selaras dengan kitab Allah dan sunah Rasulullah.

Hujah golongan yang menyetujui pendapat mazhab Hanafi ini ialah berdasarkan qias, iaitu wanita harus menjadi saksi dalam beberapa kes. Maka wanita juga harus menjadi Hakim dalam perkara-perkara yang diharuskan ia menjadi saksi.

Pandangan ulama’ semasa iaitu pendapat Dr Yusuf Qardhawi bahawa beliau bersetuju dengan pandangan Abu Hanifah yang mengharuskan wanita menjadi Hakim dalam masalah yang mereka boleh menjadi saksi iaitu selain hudud dn qisas.

PENDAPAT KETIGA (HARUS SECARA MUTLAK)

Ibn Jarir al-Tabari,mengharuskan wanita menjadi Hakim secara mutlak. Ini bererti dia boleh membicarakan semua kes termasuk hudud dan qisas. Tabari melihat tujuan perlantikan Hakim ialah untuk melaksanakan keadilan yang mutlak. Oleh yang demikian jawatan hakim boleh diberikan kepada sesiapa sahaja yang mampu mnyelesaikan perselisihan antara pihak-pihak yang berbalah. Menurut beliau hadis Abi Bakrah yang meriwayatkan bahawa sesuatu kaum itu tidak akan berjaya jika urusan mereka diketuai oleh wanita adalah ditujukan untuk jawatan ketua negara sahaja seperti yang ditentukan oleh nas hadis itu sendiri dan tidak ada nas yang mengaitkan wanita dengan perjawatan Hakim. Ibn Hazam juga berpendapat bahawa wanita-wanita harus dilantik menjadi Hakim kerana keperempuanan seseorang wanita tidak memberi kesan terhadap kemampuannya memahami hujah dan keterangan dan tidak menghalangnya menyelesaikan perbalahan.

ULASAN DAN KESIMPULANNYA

Satu hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah alasan yang diberikan oleh ulama’ tadi ialah untuk menguatkan pendapat mereka supaya bernilai dan munasabah. Namun saya berpendapat keadaan yang wujud pada hari ini, seperti Mahkamah Syariah tidak ada membicarakan kes-kes hudud dan qisas serta Hakim-Hakim lelaki yang kini dilantik tidak bertaraf Mujtahid hanya Muqallid mengikut muqalladnya (Kadi Dharurat). Manakala segala hukuman yang ditentu telah diperuntukkan dalam Undang-Undang Jenayah serata bidangkuasa dan perlaksanaannya telah ditentukan dalam Undang-Undang Pentadbiran, Tatacara Mal dan Jenayah serta Undang-Undang Keluarga dll.

Begitu juga keperluan masyarakat Islam masa kini adalah asas kepada pemilihan pendapat ulama yang mungkin dapat kita terima dan amalkan. Manakala pemerintah/kerajaan atas kapasiti melaksanakan urusan pentadbiran negaranya boleh menerima atau mengambil mana-mana pendapat untuk maslahah ammah atau kepentingan awam dan demi melaksanakan keadilan. Mengambil pendekatan golongan minoriti bukanlah satu yang asing dan pelik dalam ilmu fiqh. Secara umummya walaupun pemakaian Mazhab Syafei adala pandangan yang dominan di Malaysia, ada juga beberapa amalan dipakai mengambil kira pandangan Mazhab Hanafi. Antaranya pembayaran zakat fitrah menggunakan wang menggantikan beras seperti yang disyaratkan Mazhab Syafei. Pemakaian kepada pandangan monoriti ini berlaku setelah mengambil kira maslahah serta peredaran zaman.

Hakim wanita Mahkamah Keluarga Morocco

Pendapat Mazhab Abu Hanifah/pendapat kedua yang senderhana mungkin boleh membantu kita menyelesaikan soal perlantikan wanita sebagai Hakim dewasa ini. Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia pada 6 April 2006 telah memutuskan bahawa wanita harus menjadi Hakim Syarie, selari dengan pendapat Imam Abu Hanifah tersebut. Di negara Sudan, Yemen, Maghribi telah melantik Hakim wanita dan kini di Malaysia dua orang wanita telahpun dilantik menjadi Hakim.

Wallahua’alam bissawaab.


Disusun oleh;

Dato’ Haji Muhamad Asri Hj Abdullah.

7 September 2010. Putrajaya.


2 comments: